top of page

5000 Tiket Konsert “Learn Unlearn Relearn” Habis Dijual


Selepas 2 tahun menyepi dari pentas persembahan live, podcast OKLETSGO menutup tirai tahun 2022 dengan persembahan konsert berserta stand-up yang gah. Bertempat di Star Theatre, OKLETSGO mencatat jumlah penonton seramai 5000 orang. Ini ialah jumlah yang terbesar berbanding dengan persembahan-persembahan live mereka yang lalu di Shine Auditorium dan Kilo lounge. Pada persembahan yang lepas, ramai yang terkilan kerana tidak berjaya membeli ticket yang terhad. Namun kali ini, lebih ramai yang berpeluang untuk menyaksikan podcaster kesayangan mereka beraksi di pentas.


Konsert selama dua jam ini bakal menampilkan bakat-bakat muda dalam bidang muzik seperti Ki Zikry dan Hairi. Persembahan ini bakal diiringi alunan muzik yang dimainkan oleh 10 ahli anggota kugiran berserta alunan alat muzik hon dan perkusi.


Kumpulan dikir barat Durbar Dua juga akan membuat persembahan bagi memberi suntikan semangat dan menambahkan kemeriahan.

Sumber Gambar: Instagram, @ki.zikry

Durbar Dua membuat penampilan sewaktu konsert solo Dzar Ismail

Antara elemen-elemen menarik yang bakal ditonjolkan dalam konsert ini ialah Sparktakular seperti mana yang biasa kita lihat di konsert rock. Lebih menarik lagi, OKLETSGO bakal menjadi yang pertama di Singapura untuk menggunakan elemen percikan api Helix Sparktakulars.


Bagi memastikan kualiti bunyi dan visual yang terbaik, OKLETSGO menggunakan perkhidmatan saudara Sham dari Victoria Theatre. Beliau ialah seorang penata audio dan visual yang pernah bekerjasama dengan pemuzik-pemuzik terbesar di dunia seperti Kanye West.


Konsert Learn Unlearn Relearn ini ditambahkan elemen interaksi bersama para penonton dengan penggunaan batang cahaya yang berwarna (lightsticks). Tiga warna berbeza bagi batang cahaya ini, merah, kuning dan hijau yang digunakan untuk melambangkan warna logo OKLETSGO.


Para penonton juga akan menerima beg cenderahati sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan mereka yang ditaja khas oleh MyLustre.



Sejarah dan kejayaan yang dicapai ini tentu telah menyuntik gejolak emosi dalam hati OKLETSGO. Dalam satu wawancara bersama salah seorang podcaster OKLETSGO, Dzar Ismail sempat berkongsi tentang reaksi dan persiapan mereka menjelang konsert ini.


“Kami berasa amat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana dapat terus berkarya.Namun, kami tahu ada banyak lagi yang kami impikan dalam masa akan datang”


Pengasas bersama OKLETSGO itu juga tidak lepas melihat para pendengar sebagai pemangkin semangat buat mereka terus berkarya.


“Pendengar sejati pastinya merupakan pendorong kita yang acap kali memberikan idea-idea baru bagi apa yang mereka ingin dengarkan dan saksikan”


Dalam pada itu, Dzar bersikap terbuka terhadap segala kritikan yang dapat memartabatkan kualiti hiburan media Melayu rantau ini. Namun begitu, beliau akur bahawa kritikan yang berbaur kecaman tidak akan lepas dilontarkan. Beliau menyifatkan kritikan sebegitu bagai melepaskan batuk di tangga dan tidak perlu diendahkan.


Sepastinya konsert segah ini memerlukan persiapan dan perbelanjaan yang banyak. Ahli-ahli OKLETSGO telah mengambil keputusan untuk menjalani proses bina badan agar mereka kelihatan segak sewaktu konsert nanti.


“Kami menjalani sesi bina badan yang intensif selama dua bulan. Satu perubahan ketara daripada sudut pembentukan badan kami, diet dan pengambilan suplemen.” Ujar Dzar yang baru sahaja menimang cahaya matanya yang ketiga.


Para penonton dapat menjangkakan tampilan ahli-ahli OKLETSGO yang akan kelihatan segak dan semakin sasa.


Kos perbelanjaan juga telah diambil kira. Sebanyak $250,000 telah dihabiskan untuk memastikan persembahan yang berkualiti tinggi. Ini merupakan jumlah terbesar yang pernah dibelanjakan oleh syarikat OKLETSGO dalam sebuah persembahan secara live.


Dzar turut menjelaskan, “Pada asalnya, kami berhajat untuk membelanjakan jumlah yang kecil sahaja. Kami sekadar ingin mendapat keuntungan demi menempel sebarang kerugian daripada show-show lepas. Namun, selepas berfikir kembali, kami lebih berminat untuk menempah sejarah”. Oleh demikian, mereka tidak teragak-agak untuk membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk konsert ini.

Podcaster: Dyn Norahim, Dzar Ismail, Raja Razie

Bagi konsert berskala besar seperti ini, para penaja juga memainkan peranan yang penting. OKLETSGO beruntung mendapat teman-teman penaja yang sentiasa memberi sokongan.


Antara penaja yang telah sentiasa setia bersama OKLETSGO ialah syarikat produk kesihatan dan kecantikan, MyLustre. Syarikat MyLustre juga merupakan antara penaja utama dalam menjayakan konsert “Learn Unlearn Relearn”.


Osman Ali atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Osman selaku pemilik syarikat ini mengulas bahawa syarikatnya telah bekerjasama bersama podcast OKLETSGO semenjak bulan Mac 2019.


“Sepanjang masa itu, OkLetsGo telah menunjukkan prestasi yang mantap. Lebih menarik lagi, OKLETSGO telah berjaya menawan hati ramai pendengar dan anak-anak muda terutama sekali. Ini sekali gus telah memberi semangat dan harapan kepada para peminat.”

Lantaran hal demikian, Abang Osman merasakan bahawa ini telah memberi kesan positif terhadap pengenalan dan penjualan produk-produk MyLustre di pasaran.


Beliau juga menambah, konsert OKLETSGO yang sebesar ini dapat memberikannya peluang untuk bertemu secara langsung dengan lima ribu pendengar. Baginya, ini sangat penting untuk pemasaran MyLustre.


“Harapan utama kami adalah untuk melihat ekosistem pasaran yang telah terjalin antara MyLustre, OKLETSGO dan para pendengar semakin berkembang. Ini akan memberi manfaat kepada masyarakat kita secara keseluruhan” Jelas Abang Osman.


Para peminat juga tidak lepas daripada meluahkan rasa teruja mereka. Ramai yang turut berasa bangga terhadap pencapaian unggul ini. Sebagai peminat tegar yang telah mengikuti perkembangan OKLETSGO, mereka meraikan kejayaan ini.

Berbanding dengan konsert-konsert yang lepas, lebih ramai pendengar yang berpeluang untuk menyaksikan aksi gelagat OKLETSGO secara langsung kali ini. Star Theatre bakal dibanjiri peminat-peminat yang bukan sahaja dari Singapura. Namun, para pendengar dari Malaysia juga akan turun padang untuk menikmati konsert Learn Unlearn Relearn. Kedatangan para peminat dari seberang tambak jelas menunjukkan pengaruh OKLETSG yang telah berjaya menebar sayap di seantero rantau ini.



710 views

Recent Posts

See All
bottom of page