Isu Cerai Dijadikan Gimik Promosi Lagu, Undang Kritikan Netizen
- Plan B

- 8 hours ago
- 1 min read

Hantaran ‘talak tiga’ di Threads pada mulanya membuatkan ramai percaya satu perceraian benar-benar berlaku di media sosial. Namun, selepas Farhan Maarob meneruskan bebenang itu dengan mempromosikan lagunya, Sunyi, barulah diketahui ia sekadar gimik.
Seorang pengguna Threads mencetuskan kecoh di media sosial selepas memuat naik hantaran yang mendakwa dirinya menceraikan seorang wanita dengan talak tiga secara terbuka.
Menerusi akaun @farhanmaarob, lelaki itu menulis, "Aku ceraikan kau sekarang dengan talak tiga!!!" sebelum menyebut nama seorang wanita yang dipercayai isterinya.
Hantaran tersebut dengan cepat mengundang perhatian dan menyebabkan ramai menyangka ia benar-benar satu lafaz cerai yang dibuat di media sosial.
Malah, ruangan komen dipenuhi teguran daripada pengguna yang mempersoalkan tindakannya membawa perkara rumah tangga dan agama ke platform terbuka.
Ada yang mengingatkan bahawa urusan perceraian bukan perkara yang boleh dibuat sesuka hati di media sosial, manakala yang lain meminta orang ramai supaya tidak menormalisasikan kandungan seperti itu walaupun sekadar gurauan atau demi meraih perhatian.
Namun, 'drama' itu akhirnya terbongkar sebagai satu gimik apabila Farhan meneruskan bebenang tersebut dengan hantaran "Aku benci kau Natasya!!!?" sebelum menyertakan lagu miliknya berjudul Sunyi.
Pendedahan itu menunjukkan hantaran mengenai talak tiga tersebut bukanlah pengumuman perceraian sebenar, sebaliknya digunakan sebagai pembuka untuk mempromosikan lagunya.
















