Jumlah Kadi dan Naib Kadi Ditambah Kepada 62 Orang, Perkukuh Sokongan Kepada Pasangan Muslim
- Plan B

- 2 hours ago
- 2 min read

Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) baru-baru ini melantik barisan Kadi dan Naib Kadi baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga Muslim di Singapura.
Dengan perluasan program Bersamamu, jumlah Kadi dan Naib Kadi kini ditingkatkan daripada 41 kepada 62 orang bagi memberikan sokongan yang lebih menyeluruh kepada pasangan sebelum dan selepas perkahwinan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 23 Naib Kadi dilantik buat pertama kali bagi penggal tiga tahun akan datang.
Dalam masa yang sama, beberapa Naib Kadi sedia ada, seperti Ustaz Nuzhan dan Ustaz Mizi Wahid, turut dilantik sebagai Kadi, mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam membimbing pasangan Muslim di Singapura.
Selain mengendalikan akad nikah, peranan Kadi dan Naib Kadi hari ini semakin meluas merangkumi bimbingan, nasihat serta sokongan kepada pasangan dalam fasa awal perkahwinan.
Pendekatan ini sejajar dengan usaha membina keluarga yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan moden.
Bagi Ustaz Ahmad Syarif, pelantikan tersebut menjadi peringatan tentang besarnya amanah yang dipikul oleh seorang Naib Kadi.
"Setiap akad nikah bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi satu ikatan suci yang dipersaksikan " oleh Allah SWT," katanya.
Sementara itu, Ustaz Zuhdi berharap peranan tersebut dapat dimanfaatkan untuk memperkukuhkan institusi keluarga Muslim melalui penerapan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu agama dalam kehidupan berumah tangga.
Ustaz Hanan Farihin pula menekankan bahawa peranan Naib Kadi hari ini
tidak terhad kepada mengendalikan akad nikah semata-mata. Menurut beliau, Naib Kadi turut berperanan membimbing dan menjadi rujukan kepada pasangan dalam fasa awal perkahwinan agar mereka dapat membina rumah tangga yang berteraskan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah.
Bagi Ustaz Idris pula, fokus utama beliau adalah membantu pasangan memulakan alam perkahwinan dengan kefahaman dan persediaan yang lebih baik.
"Setiap pasangan datang dengan latar belakang dan cabaran yang berbeza," katanya, sambil menekankan kepentingan pendekatan yang mesra dan relevan dengan realiti kehidupan hari ini.
Ustaz Khairulanwar pula melihat pelantikannya sebagai peluang untuk menjadi sebahagian daripada sistem sokongan awal bagi pasangan Muslim.
"Saya berharap hubungan bimbingan itu tidak terhenti pada saat akad nikah sahaja," katanya, sambil menambah bahawa pasangan harus terus mempunyai ruang mendapatkan panduan dan sokongan selepas mendirikan rumah tangga.
















